Rabu, 20 April 2011

Asal Usul Kg Gum - Gum Sandakan, Sabah.

Kampung Gum – Gum yang terletak 16 batu atau 25.6 kilometer dari pusat Bandar Sandakan adalah salah sebuah kampung yang telah dibuka lebih kurang 61 tahun yang lalu oleh seorang penghijrah dari suku kaum Sungai iaitu Kamang bin Abu Bakar ( Allahyarham ) iaitu pada tahun 1950. Beliau adalah orang pertama yang telah mendirikan rumah di kampung ini atau dengan lain perkataan orang yang mula – mula sekali merintis pembukaan kampung ini lalu mengambil keputusan untuk menamakan kampung ini dengan nama kampung Gum – Gum.
                Sememangnya menjadi tanda tanya kepada kebanyakkan orang akan sebab mengapa perintis kampung ini memberikan nama yang agak ganjil dan jarang diketahui oleh masyarakat termasuk orang – orang Sungai sendiri ke atas kampung ini. Bagaimanapun keputusan untuk memberikan nama Gum – Gum kepada kampung baru ini di ambil oleh Allahyarham Encik Kamang atas sesuatu sebab. Setelah diselidiki adalah didapati bahawa nama kampung sebenarnya diambil berdasarkan kepada nama sejenis pokok buah – buahan yang dikenali dengan nama Lenggem, atau Mangga Hutan oleh Orang – orang Sungai. Mengikut penjelasan yang diperolehi dari Ketua kampung ini, ketika kampung ini dijumpai dan seterusnya dibuka didapati banyak pokok buah Lenggem. Jadi sempena nama pokok inilah maka kampung ini dinamakan sebagai Kampung Gum – Gum.
                Sebenarnya diperingkat awal kampung ini dibuka cuma terdapat sebuah rumah sahaja yang didirikan iaitu rumah yang diduduki oleh Encik Kamang dan keluarganya. Bagaimanapun lama kelamaan berlaku perkembangan yang akhirnya menarik masyarakat Sungai yang lain untuk mendirikan rumah dikampung ini dan seterusnya menetap bersama dengan Orang Sungai yang lain. Perkembangan ini kemudiannya telah menarik minat orang – orang dari bangsa yang lain seperti orang – orang Bugis, Cina, Jawa dan lain – lain golongan untuk mendirikan rumah dan tinggal tetap di kampung ini.